Wednesday, October 27, 2010

Bagaimana Memahami Kata-Kata Imam As-Syafi'e

 " Jika kamu dapati ada hadis yang sahih bertentangan dengan pendapat ku maka ikutilah hadis itu dan tinggal lah pendapatku."

Diantara perkara yang menjadi perbahasan hingga membawa kepada pelbagai pendapat ialah dalam memahami kata-kata Imam As-Syafi'e ketika berpesan kepada anak-anak muridnya. Salam faham dalam memahami maksud sebenar inilah yang mendorong sebahagian dari kita mengambil kesempatan untuk menonjol pendapat sendiri dan mempertikai sebahagian dari fatwa Imam As-Syafi'e atas alasan hujah yang lemah atau hadis yang sanadnya lemah.Berikut adalah jawaban yang di petik dari:

HURAIAN TENTANG PERKATAAN IMAM SYAFIE
http://almalakawi.wordpress.com

اذا صح الحديث فهو مذهبى
Di dalam kitab Al-majmuk ada menerangkan pengertian sebenar perkataan Imam Syafie r.mh :

i. Tiadalah bermaksud bahawa seseorang yang melihat hadis sahih lantas dia berkata ini adalah mazhab Syafie dan beramal dengan zahir hadis.

ii. Tidak juga perkataan ini ditujukan kepada mereka yang tidak sampai kepada darajat ijtihad yang mana apabila menemui hadis sahih terus beramal dengannya.

iii. bahkan makna perkataan ini ditujukan kepada mereka yang sampai darajat ijtihad tetapi hendak beramal dengan hadis sahih yang ditemui ada beberapa syarat:-

a. Setelah ia(mujtahid) meneliti sekelian kitab Imam syafie dan sekelian kitab ulama mazhab Syafie

b. Kuat pada sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadis sahih itu.

Banyak hadis sahih yang telah sampai kepada Imam Syafie atau yang dia mengetahui tetapi dia tidak beramal dengan zahir hadis itu kerana Imam Syafie mengeluarkan hukum daripada hadis yang terlebih rajih daripadanya . Terkadang hadis itu mansukh (hadis yang dibatalkan hukum) atau ada hadis yang lain mentakhsiskan atau Imam Syafie telah mentakwil (mengambil makna yang lain selain daripada makna yang sebenar) hadis itu atau lainnya .

Ada setengah orang menyebut bahawa perkataan ini ditujukan kepada Ashab (anak murid ) Imam Syafie iaitu Imam Muzani Dan Imam Buwaiti ketika mereka mengemukakan pertanyaan ” yang mana satu hendak dipegang antara dua perkataan Imam Syafie iaitu Qaul Qadim (pendapat Imam Syafie semasa di Baghdad) atau Qaul Jadid (pendapat imam Syafie semasa di Mesir). Maka Imam Syafie memberi jawapan dengan berkata

اذا صح الحديث فهو مذهبى .
Oleh kerana itu perkataan Imam Syafie tersebut dibahaskan di dalam Muqaddimah Majmuk Imam Nawawi sebelum beliau masuk kepada tajuk

فصل كل مسئلة فيها قولان للشافعى رحمه الله قديم و جديد .
(ertinya: “Fasal bagi setiap masalah feqah ada padanya dua pendapat di sisi Imam Syafie r.h.m iaitu qaul qadim dan qaul jadid.”)

Disana juga ada terdapat masalah-masalah yang wajib di pegang atau diamalkan mengikut kaul qadim sedangkan kaedah asal kita wajib beramal dengan kaul jadid.

Peringatan:

Mazhab Shafie mempunyai ulama-ulama mujtahid tersendiri yang telah menjaga mazhab ini dengan berpandukan kaedah-kaedah Imam Syafie. Jika diandaikan bahawa Imam Syafie tidak menemui sesebuah hadis yang sahih untuk menerangkan sesuatu hukum, maka merekalah yang terlebih mampu dalam penyelidikan tersebut. Sesungguhnya telah maklum bahawa hukum-hakam dalam mazhab Syafie telahpun lengkap dengan dalil-dalil yang diutarakan di dalam kitab-kitab muktabar mereka itu.

Wednesday, October 20, 2010

Taqlid Dibolehkan Bagi yang Belum Sampai Pada Tingkatan Ijtihad

Menurut pendapat Imam Hasan Al-Banna, beliau berkata " Bagi setiap muslim yang belum sampai pada tingkatan yang sanggup mengkaji dalil dari hukum-hukum syari'at, hendaklah ia mengikuti salah seorang imam daripada imam-imam yang ada. Dan sebaliknya ia beruasaha untuk mengetahui dalilnya setakat kemampuanya, serta menerima semua petunjuk atau nasehat yang disertai dengan dalilnya, selama ia memandang orang yang menasehatinya memiliki keupayaan dan keahlian dalam hal yang dinasehati."

Jadi menurut beliau taqlid atau bermazhab adalah sesuatu yang diharuskan oleh syari'at. Namun ia tidak berlaku keatas semua orang tetapi hanya dibolehkan bagi setiap muslim yang belum sampai pada tingkatan an-nazhr atau tidak memiliki kemampuan untuk mengkaji dalil dari sumber-sumber hukum syari'at dan membuat kesimpulan-kesimpulan hukum dari Al-Quran,Sunnah, Qiyas dan Ijmak.

Ittiba'(Mengikuti) Bukan Taqlid.

Yang menarik dari ungkapan Imam Hasan Al-Banna beliau tidak menyebutnya dengan kata taqlid tetapi menggunakan kata ittiba'. Beliau berkata " Hendaknya ia mengikuti salah seorang imam dari imam-imam yang ada. Kata ittiba' ini penggunaanya lebih baik dari kata taqlid kerana Al-Quran sendiri menggunakan perkataan ittiba' berkaitan dengan hal-hal yang terpuji yang disyari'atkan. Contohnya seperti ucapan Nabi Ibrahim kepada ayahnya, " Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepada ku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepada mu, maka ikutilah(ittiba') aku, nescaya aku akan tunjukan kepada mu jalan yang lurus." (Maryam:43).

Ayat diatas menunjukkan bahawa orang yang tidak mengetahui dianjurkan supaya mengikuti orang alim dalam perkara yang dia tidak ada pengetahuan tentangnya. Demikian juga kita dapati dalam kisah Nabi Musa bersama seorang hamba yang soleh yang terkenal dengan Khidhr dimana Nabi Musa menemani Nabi Khidhr dalam perjalanan dan meminta supaya Nabi Khidhr megajarnya sebahagian ilmu-ilmu yang Allah kurniakan kepada beliau. Hal ini menjadi bukti bahawa mengikuti orang yang lebih mengetahui dalam sebahagian permasalahan bukanlah hal yang tercela.

Adapun kata-kata Imam Hazm, " Demikianlah Malik, ia melarang Taqlid. Begitu juga Asy-Syafi'i dan Abu Hanifah, .............." seperti ini dibantah oleh Imam Az_Zarkasyi yang mengatakan ungkapan seperti itu hanya ditujukan kepada orang yang telah sampai kepada tingkatan mujtahid dan bukan untuk semua manusia. Ada pun bagi orang awam mereka di suruh ittiba' kepada orang alim yang lebih mengetahui. Kewajipan berittiba' untuk orang awam, maka hal terseut berdasarkan firman Allah " Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui." (An-Nahl:43). Sabda Nabi s.a.w " Kenapa mereka tidak bertanya jika tidak mengetahui ? sesungguhnya ubat kebodohan ialah bertanya." hadis riwayat Abu Daud dai Jabir (kitab Ath-Taharah).

Frman Allah lagi, " Tidak sepatutnya bagi orang-orang mukmin pergi kesemuanya(ke medan perang) Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan diantara mereka beberapa orang untuk mempelajari ilmu  tentang agama mereka dan untuk memeberi peringatan kepada kaumnya, apabila mereka telah kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjada dirinya." (At-Taubah:122).

Dalam ayat diatas Allah memerintahkan sebahagian penduduk dari suatu kaum untuk menerima perkataan orang alim dalam urusan agama mereka. Jika hal ini tidak diwajibkan kepada mereka(orang awam) maka memberi peringatan yang terkandung dalam ayat tersebut tidak mempunyai makna lagi.

Abdullah b Ahmad berkata, " Aku bertanya kepada ayahku(Imam Ahmad ibnu Hanbal) tentang seseorang yang memiliki beberapa kumpulan kitab-kitab yang mengandungi hadis-hadis Nabi s.a.w, perselisihan para sahabat dan tabi'in, namun orang itu tidak memiliki kemampuan untuk membzakan antara hadis dha'if dan matruk, juga antara sanad yang kuat dan sanad yang lemah, apakah dia boleh beramal sesuai dengan pendapat yang dia kehendaki itu ? " Ayahku menjawab, " Tidak boleh, sampai dia bertanya kepada alim ulamak tentang pendapat yang diambilnya dari kitab-kitab tersebut." Ini menunjukkan bahawa orang awam tidak boleh mengambil mudah dengan memandai-mandai mengeluarkan pendapat sendiri apabila telah membaca beberapa buku hadis dalam masalah tertentu sebelum mereka bertanya kepada orang alim.

Al-Qadhi Abu Al-Ma'aly Azizi bin Abdul Malik pernah berkata, " Sekiranya masayarakt awam diwajibkan belajar hingga mereka mampu mengetahui seluk-beluk pengambilan hukum, maka perlaksanaan mereka dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan agama tidak akan berjalan lancar sehingga semua mereka mencapai darjat alim, dan hal ini tidak mungkin terjadi. " Dengan demkian orang awam diberi keringanan untuk mengikuti pendapat orang alim yang memiliki kemampuan dalam menetapkan kesimpulan-kesimpulan hukum. Yang dilarang dalam agama hanyalah bagi orang alim mereka  tidak dibenarkan bertaqlid kepada mujtahid lain.

Dari segi sejarah pun dari sekian ramai para sahabat Nabi s.a.w bukan semua mereka mencapai darjat alim ulamak. Tingkatan ilmu mereka pun berbeza-beza.Ada yang alim, sederhana dan yang teramai ialah golongan awam. Diriwayatkan hanya segelintir dari mereka sahaja yang betul-betul mencapai darjat alim dan mampu berijtihad contohnya seperti khalifah yang empat, Zaid b Thabit, Muadz b Jabbal, Abdullah b Masud, Abdullah b Umar dan beberapa yang lain. Selain dari itu mereka dikatogerikan sebagai orang awam yang selalu meminta fatwa-fatwa dari kalangan para sahabat yang alim. Begitu jugalah hal yang berlaku pada zaman tabi'in dan imam-imam mazhab. Mereka mengajar dan memberi fatwa kepada masyarakat awam dan tidak memaksa semua orang belajar hingga ke peringkat semuanya menjadi alim. Sekian.