Monday, November 8, 2010

Bilakah Babi Bukan Lagi Dianggap Babi ? Isu Dan Penyelesaian

ISTIHLAH SEBAGAI PENENTU HALAL DAN HARAM.                                        

Penggunaan bahan-bahan daripada sumber babi dalam industri makanan dan perindusrian dikatakan semakin meluas di malaysia. Tidak dapat dinafikan kebanyakan syarikat perusahaan makanan khususnya dari luar negara seperti Eropah, Amerika dan China yang membuka cawangan mereka di negara ini menguasai pasaran makanan dan barangan kegunaan harian.

Kebanyakan produk perusahaan asing yang menggunakan bahan dari lemak babi sebagai campuran tidak melabelkannya dengan jelas dan ini secara tidak langsung boleh mengelirukan pengguna – pengguna islam di negara ini. Baik barangan kegunaan harian sama ada disedari oleh masyarakat atau tidak mempunyai kandungan daripada unsur babi seperti ubat gigi, ubat-ubatan, sabun, produk kecantikan dan banyak lagi.

Berdasarkan senario di atas, isu yang melibatkan penghasilan produk makanan dan barangan kegunaan harian wajar di lakukan penganalisaan kerana ia berkaitan rapat dengan masyarakat Islam dan melibatkan isu halal dan haram. Oleh itu, pendekatan teori istihlah boleh digunapakai bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul berhubung isu halal haram makanan dan barangan kegunaan harian.

Istihlah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud berubah sementara, dari segi bahasa menurut  Mohammad Soleh Uthmaien bererti perubahan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Menurut Dr Mahmud Ismail Mohd Miskal , teori istihlah dari segi syarak merupakan perubahan yang berlaku ke atas zat iaitu perubahan zat asal kepada zat baru yang berbeza dari segi warna, rasa dan bau. Sementara itu, Dr Qarafi Azah Al-Ghananim mendefinisikan istihlah sebagai perubahan secara tabie dan sifat.

Menurut pensyarah Jabatan Fekah dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia , Dr Saidan Man, teori istihlah ini sudah wujud sekian lama. Teori ini boleh di gunakan bagi menentukan hukum halal atau haram sesuatu bahan tersebut. Menurutnya lagi, berdasarkan pandangan mazhab Hanafi dan Maliki, teori istihlah ini sebagai satu medium perubahan sesuatu jirim najis kepada jirim yang suci sama ada ia berlaku secara semulajadi atau tidak seperti dengan bahan lain dan sebagainya.

Sementara, mazhab Shafie, Hambali dan Abu Yusuf pula menyempitkan teori istihlah dan tidak menerimanya sebagai satu medium perubahan dan menganggapnya sebagai tidak sah suci sekalipun telah berlaku proses istihlah. Sebagai contoh, jika buah anggur dan kurma yang asal usulnya adalah suci tetapi apabila ia di peram ia akan menjadi arak maka hukumnya adalah haram. Tetapi, apabila ia di peram semula dengan cuka  akan menyucikan minuman tersebut dan hukumnya adalah halal.

Begitu juga apabila baja daripada najis babi digunakan dalam proses penanaman betik, maka apabila buah betik itu sudah masak dan  dibuat kajian mengenainya serta didapati tiada unsur bahan daripada babi maka hukumnya adalah suci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Bilakah Babi Bukan Lagi Dianggap Babi ? Isu dan Penyelesaian pada muzakarah pakar unsur babi. Isu dan cabaran di Institut kefahaman islam Malaysia ( IKIM ) baru – baru ini. Menurut Saidan, masalah bagi mengaplikasikan konsep istihlah di negara ini ialah ketiadaan satu sistem piawaian yang tetap.“ Ini kerana masih terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pakar bagi menentukan status halal sesuatu bahan tersebut “, tambahnya.

Jelas beliau kalau dalam bidang sainsnya, istihlah boleh dipraktikkan apabila terdapat unsur babi dalam sesuatu bahan itu yang berubah sehingga tidak lagi mempunyai DNA atau kandungan daripada haiwan tersebut dalam sesuatu bahan itu.

Mengikut Prof. Dr. Yusuf Qardhawi , walaupun sesuatu bahan itu masih terdapat unsur babi dalam kandungannya asalkan ia tidak dominan , teori istihlah boleh di gunakan pada bahan tersebut, katanya. Dr Saidan menambah, dalam konteks negara ini, konsep istihlah telah membantu mengukur hukum halal haram sesuatu makanan itu. Bagaimanapun , penerimaan konsep istihlah bergantung kepada situasi atau keadaan.

Justeru, kita melihat bahawa kaedah istihlah ini merupakan kaedah yang relevan untuk diaplikasikan khususnya dalam situasi semasa dalam kes yang melibatkan bahan-bahan daripada babi. Bagaimanapun, kaedah ini perlu digunakan secara berhati-hati dan teliti terutamanya dalam aspek memastikan bahawa perubahan zat dan sifat najis itu telah benar-benar berubah menjadi suci, jelasnya.

No comments: