Thursday, November 18, 2010

AZAB DICABUT NYAWA HANYA DONGENG

Umat Islam sering dimomokkan dengan cerita-cerita azab dan sakitnya ketika nyawa dicabut oleh Malaikat Izrael atas alasan nak menakut-nakutkan masyarakat supaya insaf dan takut melakukan dosa. Maka hadis-hadis dhaif disebar luaskan kepada masyarakat hingga sudah menjadi bahan pelaris ceramah. Tetapi azab sakit ketika mati merupakan masalah akidah yang tidak boleh disandarkan kepada hadis dhaif. Ikuti wawancara bersama DR MUSA FATHULLAH HARUN (mantan pensyarah pendidikan Islam UiTM) untuk mengupas isu ini. 

Kita sering diperdengarkan hadis tentang kesengsaraan ketika dicabut nyawa. Benarkah sedemikian ?

DR.MUSA : Hadis-hadis yang mengambarkan kesengsaraan atau azab luar biasa sakitnay yang dihadapi oleh orang beriman ketika sakaratul maut adalah hadis daif, batal dan ada yang palsu. Antara hadis itu adalah :``Kematian yang paling ringan seperti tumbuh-tumbuhan berduri yang ada di dalam bulu (wool). Apakah tumbuh-tumbuhan berduri itu boleh keluar daripada bulu itu tanpa membawa bersamanya sebarang bulu ?

Al-hafiz al-`Iraqi dalam takhrij Ihya Ulum al-Din menyatakan hadis tersebut adalah hadis mursal yang diriwayatkan oleh Ibnu Ani al-Dunya dalam kitab Dzikr al-Mawti daripada Syahr bin Hawsyab. Al-Suyuti dalam Ziyadat al-Jami” al-saghir menyatakan hadis itu sangat daif, sedangkan al-Subki dalam Tabaqat al-Syafiiyyah berkata, beliau tidak menjumpai sanad hadis tersebut.

Hasan al-Saqaf dalam kitabnya Sahih al-`Aqidqt al-Tahawiyah menukilkan 14 hadis yang menggambarkan kesakitan dan kesengsaraan orang yang dicabut nyawanya. Beliau menegaskan, semua hadis itu tidak sahih, sebahagiannya daif, batal dan ada yang mauduk (palsu) yang diambil daripada kitab-kitab lama atau Israeliat.

Satu lagi yang biasa kita dengar adalah diriwayatkan bahasa Nabi Musa a.s ketika rohnya sampai ke hadrat Allah SWT.  Allah berfirman kepadanya yang bermaksud: ``Wahai Musa, bagaimana engkau dapati kematian? Beliau menjawab: Aku dapati diriku seperti burung ketika digoreng di atas penggorengan, tidak mati sehingga boleh rehat dan tidak pula selamat sehingga boleh terbang.” Dalam riwayat lain, Nabi Musa berkata: ``Aku dapati diriku seperti seekor kambing hidup dikuliti (dibuang kulitnya)”.

Menurut Hasan al-saqaf, ia juga jelas bercanggah dengan firman Allah yang bermaksud: Dan barang siapa yang mengerjakan sebarang amalan soleh, sedang dia beriman maka tidak seharusnya dia merasa takut dianiaya atau dikurang sedikit pun pahalanya. (Taha:112)

Kenyataan tentang sengsaranya orang mukmin itu juga bercanggah dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dan jadikanlah maut itu sebagai kerehatan bagiku daripada segala keburukan.(riwayat Muslim)

Jadi, bagaimana keadaan orang beriman semasa sakaratul maut?

DR.MUSA: Al-Quran menjelaskan dalam banyak ayatnya bahawa orang beriman tidak mengalami kesengsaraan sebagai mana orang yang derhaka kepada Allah SWT. Antara firman Allah yang bermaksud : “ Allah mengambil jiwa ketika sampai ajalnya, dan jiwa yang tidak mati dalam masa tidurnya; Kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan atasnya matinya; dan melepaskan balik jiwa yang lain sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuatan Allah bagi kaum yang berfikir.  (az-Zumar:42)

Hasan al-Saqaf berkata, di dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa tidur adalah satu kematian, di dalanya ada kewafawatan iaitu Allah memegang jiwa manusia yang belum mati pada waktu tidurnya. Kita tidak merasakan sebarang kesakitan dalam kewafatan tersebut.

Sakaratul maut adalah seperti mangantuk untuk tidur. Perbezaan  antara maut dan tidur adalah di dalam mati, si hamba tetap dengan seluruh pancainderanya dan berpindah secara kesuluruhan ke alam barzakh. Adapun tidur, si hamba tidak mengingati kebanyakan yang dilihatnya kerana roh akan kembali selepasnya ke dalam jasad.

Menurut beliau lagi, sakaratul maut bukan bermakna azab atau kesakitan. Bagi orang beriman, dalam kematian tidak ada kesakitan dan sakaratul maut adalah tersingkap alam barzakh bagi roh sebelum keluarnya daripada badan. Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “ Sesungguhnya ! Engkau di dunia dahulu berada dalam kelalaian tentang hal ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam.”  (Qaaf:22)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksud-Nya: “ Wahai orang yang mempunyai jiwa yang tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredai(di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-ku  ! “  (al-Fajr:27-30)

Oleh itu, penting bagi kita berpegang kepada penjelasan al-Quran mengenai keadaan orang mukmin dan orang kafir dalam hal ini. Janganlah kita berpegang kepada hadis-hadis daif dan batil lebih-lebih lagi hadis palsu.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum En Abu Danial,

Saya ada satu soalan. Ketika belajar di ITM tahun 1983 dulu saya ada seorang kawan baik dari Pekan Pahang namanya Pot. Satu ketika tiba tiba saja dia kata dia ada berhutang dengan saya sebanyak RM 1.Sebenarnya tak ada tapi dia beria ia benar kata ada dan minta saya terima juga duit RM 1 tu. saya terpaksa terima juga dengan berat. Dah tua tua ni takut pula rasanya sebab hutang perlu dijelaskan walaupun 10 sen. Saya cuba cari dia hingga kini tak dapat hpnya tapi dia dikatakan bekerja dan tinggal di Prai. Kalau saya tak jumpa dia nak nak buat camna dengan hutang tu ya?

Mountain Climber